Timbangan Yang Adil Pada Meluruskan Golongan Ahli Ta'lim

  • Sale
  • Regular price $22.00
Tax included.


Imam al-Ghazali – sebagaimana yang dapat dilihat melalui karya-karya beliau – merupakan salah seorang tokoh prolifik yang sangat dikenali dengan bantahan dan sanggahannya terhadap aliran-aliran terpesong seperti golongan Falāsifah dan Bāṭiniyyah atau dikenali juga sebagai Ta‘līmiyyah.

Dalam usaha beliau menjelaskan dan menentang kebatilan pegangan golongan Falāsifah, maka lahirlah dua kitab beliau yang tidak asing lagi dalam kalangan para pengkaji: Maqāṣid al-Falāsifah dan juga Taḥāfut al-Falāsifah. Adapun kitab-kitab beliau yang dikhususkan bagi membincangkan mengenai golongan Bāṭiniyyah, maka di antaranya adalah seperti Faḍāiḥ al-Bāṭiniyyah, Qawāṣim al-Bāṭiniyyah, Mufaṣṣal al-Khilāf, al-Qiṣṭās al-Mustaqīm dan beberapa kitab yang lain.

Dari sini, terserlah salah satu tujuan daripada penulisan al-Qiṣṭās al-Mustaqīm – sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazālī sendiri di dalam karya autobiografi beliau yang terkenal, al-Munqidh Min al-Ḍalāl – iaitu menzahirkan tentang ketidakperluan kepada ‘Imam Maksum’ yang didakwa oleh golongan ahli Ta’līm.

Adapun tujuan kedua daripada penulisan buku ini adalah bagi menjelaskan apa yang dinamakan oleh beliau sebagai ‘timbangan-timbangan bagi ilmu’ atau lebih dikenali dalam kalangan ahli ilmu sebagai qiyās-qiyās mantik yang lima.

Maka, selain dianggap sebagai salah satu kitab utama dalam menzahirkan kebatilan pegangan golongan Ta‘līmiyyah, al-Qisṭās al-Mustaqim dari sudut pandang yang lain dapat dilihat sebagai kitab rujukan bagi peringkat awal dalam rantaian silibus pengajian ilmu Mantik Imam al-Ghazali kerana hanya menyentuh salah satu daripada perbahasan ilmu Mantik iaitu perbahasan qiyās (silogisme). Kemudian, diteruskan pula setelah itu dengan kitab-kitab Mantik beliau yang lebih tinggi seperti Miḥakk al-Naẓar dan Mi‘yār al-‘Ilm.