Ihya' Ulumiddin - Menghidupkan Ilmu Agama

  • Sale
  • $35.00
  • Regular price $45.00
Tax included.


Abū Hāmid Muhammad bin Muhammad al-Ghazālī (450H-505H) adalah ilmuwan Islam penting yang hidup pada kurun ke-5 Hijrah. Beliau digelar al-Mujaddid, al-Imām dan Hujjah al-Islām dek keluasan ilmunya. Beliau menghasilkan banyak karya agung yang masyhur dan mencakupi pelbagai bidang.

Iḥyāʾ ʿUlum ad-Dīn merupakan karya Imam al-Ghazālī yang mengandungi 40 buah dengan empat pembahagian: Suku Ibadat, Suku Adat, Suku Muhlikat dan Suku Munjiyat. Kitab ini dikarang dengan menumpukan unsur kerohanian ketika beliau berkelana di beberapa negara selepas meninggalkan jawatan dan kemasyhuran di Baghdad.

Kitab Ilmu daripada Ihyāʾ ʿUlum ad-Dīn (Menghidupkan Ilmu Agama) ini dikarang untuk menjernihkan semula kefahaman umat Islam tentang konsep ilmu. Imam al-Ghazālī menyedari berlakunya penyelewengan terhadap konsep ilmu oleh segelintir pihak yang termakan hasutan dunia. Penjelasan yang dibentangkan oleh beliau adalah hasil pengalaman rohaniah yang dicapai selepas melakukan pemerhatian terhadap golongan pelaku bidaah dan penurut hawa nafsu.

Kitab Asas Akidah daripada Iḥyāʾ ʿUlum ad-Dīn ini merupakan karya yang ringkas dan padat dalam menerangkan iktikad penting yang wajib diyakini umat Islam. Dalam kitab ini, Imam al-Ghazālī turut menjelaskan beberapa tingkatan akidah berdasarkan tahap pemahaman umat dan kaedah pengajarannya agar dapat dicerap dan terpasak kukuh di dada setiap Muslim.

Kitab Hikmah Bersuci dan Sembahyang daripada Ihyāʾ ʿUlūm ad-Dīn menerangkan kepentingan dan kewajipan untuk menyucikan diri sebagai lanjutan daripada kemurnian akal dan jiwa sebelumnya. Dalam kitab ini, Imam al-Ghazālī menerangkan keperluan untuk membersihkan diri lantaran ia syarat bagi mendirikan sembahyang kerana sembahyang merupakan ibadah pertama yang akan dihitung pada hari akhirat kelak.

Ibadah biasa dikaitkan dengan perkara-perkara zahir seperti rukun, syarat wajib, syarat sah dan lain-lain, namun ibadah batin yang terkait dengan hati sering dilalaikan. Dalam Kitab Hikmah Zakat, Puasa dan Haji ini, Imam al-Ghazālī memperincikan secara tuntas amalan-amalan hati yang perlu dilakukan ketika melaksanakan tiga rukun Islam tersebut. Petua dalam kitab ini juga bukan sahaja dapat menjadi panduan beribadah bahkan menjadi pedoman untuk mencapai keikhlasan sempurna.

Kitab Adab Membaca al-Quran, Zikir dan Wirid Harian daripada Iḥyāʾ ʿUlūm ad-Dīn menjelaskan kedudukan al-Quran dan zikir selaku ibadah lisan serta adab-adab mengerjakannya. Wirid harian yang dimaksudkan dalam Iḥyāʾ ʿUlūm ad-Dīn pula merujuk kepada jadual ibadah harian yang meliputi ibadah mana-mana anggota badan termasuklah lisan. Memandangkan keadaan dan kelapangan masa setiap individu berbeza-beza, maka Imam al-Ghazālī membahagikan manusia yang ingin menelusuri jalan akhirat kepada enam golongan utama agar semua orang berpeluang mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan pelbagai cara.